Pembedahan Katarak

Pembedahan Katarak

Pengenalan
Katarak ialah suatu keadaan dimana kanta mata yang jernih menjadi keruh. Ini boleh diumpamakan seperti tingkap yang sebahagiannya diselaputi kotoran dan menyebabkan  gangguan penglihatan.
Sekiranya sedikit sahaja penglihatan terjejas, pembedahan tidak perlu dilakukan. Dengan hanya menukar preskripsi cermin mata dapat membantu pesakit melihat dengan lebih baik untuk sementara waktu. Sesungguhnya, tiada ubat-ubatan, ubat titis mata, senaman atau cermin mata yang boleh mengubati katarak. Hanya pembedahan sahaja yang boleh merawat katarak.
Semasa pembedahan katarak, kanta mata yang berselaput dikeluarkan dari mata. Dalam kebanyakan kes, kanta yang asli ini akan digantikan dengan implan kanta intraokular (IOL) yang kekal.
Bila Disyorkan Untuk Pembedahan
Rawatan pembedahan ganti kanta disyorkan bila :
  1. Bila pandangan tidak lagi boleh dibetulkan dengan cermin mata.
  2.  Kegiatan / aktiviti (kerja, hobi, aktiviti harian dan lain-lain) pesakit mula terganggu disebabkan gangguan pandangan akibat katarak
  3. Untuk tujuan pemeriksaan dan rawatan yang memerlukan media  yang lutsinar, seperti kes-kes glaucoma, uveitis, rawatan laser dan saringan retinopati kencing manis
Jenis Pembedahan Katarak
a) Phacoemulsification
Ianya ialah pembedahan katarak luka kecil (lebih kurang 3mm). Isi kanta disedut keluar melalui bukaan 3mm dengan bantuan tenaga Ultrasound. Implan kanta kekal dimasukkan ke dalam bag kanta dalam mata.
Ultrasound Probe digunakan untuk membuang katarak menerusi insisi kecil
Implan kanta kekal dimasukkan ke dalam bag kanta dalam mata
Implan kanta kekal diantara bag kanta dalam mata
Pembuangan katarak melalui Pembedahan Phacoemulsification
b) Extra capsular cataract Extraction (ECCE)
Memerlukan bukaan luka yang lebih besar, lebih kurang 7mm. Isi kanta dikeluarkan, implan kanta dimasukkan ke dalam bag kanta melaui bukaan yang lebih besar berbanding dengan teknik Phacoemulsification.
Katarak di keluarkan secara manual melalui kaedah pemotongan kecil
Implan kanta kekal dimasukkan ke dalam bag kanta dalam mata
Potongan kecil di jahit bagi menutup lubang
Pembuangan katarak melalui Pembedahan Extracapsular Cataract Extraction
Pilihan Bius Pembedahan
  1. Bius menyeluruh
    • Jarang digunakan
    • Hanya untuk segelintir pesakit katarak

  2. Bius setempat
    Terdapat beberapa cara / pilihan untuk bius setempat
    • Ubat bius titis / Topikal
    • Suntikan Ubat bius sekitar mata
Jenis-Jenis Kanta
Jenis implant kanta intraocular yang dipilih bergantung kepada banyak faktor seperti sejarah kesihatan pesakit, kuasa kanta yang dikira, dan juga jenis pembedahan yang dijalankan
Persediaan Sebelum Pembedahan
  1. Pemeriksaan spesifik mata pesakit
  2. Pemeriksaan sistemik menyeluruh fizikal pesakit bagi memastikan pesakit selamat untuk menjalani pembedahan katarak
  3. Pengesahan pembedahan diberikan setelah pemeriksaan lengkap dan keputusan pemeriksaan diperolehi. Pesakit dan keluarga akan diberi tarikh pembedahan. Doktor juga akan berbincang dengan pesakit mengenai jenis pembedahan, jenis bius pembedahan, jenis kanta yang sesuai serta kos pembedahan. Pesakit juga akan diberitahu mengenai risiko pembedahan yang akan dijalani.
  4. Pesakit juga akan diberikan kaunseling pra-bedah oleh Paramedik terlatih mengenai penjagaan sebelum dan selepas pembedahan
Peringatan Selepas Pembedahan
  • Gunakan ubat / ubat titis mata seperti yang diarahkan
  • Elakkan menggosok atau menekan mata dengan kuat
  • Perlindungan : Seperti yang dinasihatkan oleh doktor. Pesakit perlu menggunakan penutup pelindung mata semasa tidur terutamanya pada minggu pertama selepas pembedahan. Cermin mata gelap boleh digunakan semasa siang hariterutamanya semasa berada di luar rumah untuk mengelakkan rasa tidak selesa / silau yang melampau dari cahaya yang kuat dan juga bagi mengelakkan sebarang kecederaan.
  • Mencuci muka : Pesakit perlu membersihkan muka dengan lembut dan hati-hati terutamanya pada minggu pertama selepas pembedahan. Jangan biarkan air / sabun / syampu / minyak rambut atau sebagainya masuk terus ke dalam mata. Gunakan tuala / kain bersih yang lembut untuk membersihkan muka.
  • Bercukur : Pesakit boleh bercukur selepas pembedahan.
  • Mandi : Pesakit boleh mandi selepas pembedahan. Walau bagaimanapun, elak sebarang benda dari masuk ke dalam mata (air / sabun / syampu / minyak rambut etc).
  • Mencuci rambut : Pesakit boleh mencuci rambut tetapi, pastikan syampu / air tidak masuk terus ke dalam mata.
  • Bersukan : Pesakit boleh melakukan seperti biasa seperti berjalan, membaca dan menonton televisyen. Walau bagaimanapun elakkan aktiviti berat / lasak seperti berjoging, angkat berat, berenang, berkebun, senamrobik, sebarang sukan / permainan lasak dan lain-lain untuk 2 bulan pertama selepas pembedahan.
  • Hubungan seks : Pesakit boleh kembali aktif 1 hingga 2 minggu selepas pembedahan bergantung kepada nasihat doktor
  • Pemakaian kosmetik muka / Bersolek : Pesakit dinasihatkan agar tidak menggunakan sebarang kosmetik mata untuk 6 minggu pertama selepas pembedahan.
  • Pemakanan / Diet : Tiada pantang dalam pemakanan dan pesakit boleh mengambil diet yang biasa diambil. Bagaimanapun jenis pemakanan hendaklah seperti yang disyorkan mengikut masalah kesihatan pesakit. Yang penting elakkan sembelit dan minum banyak air.
  • Memandu : Cuba elakkan dari memandu melainkan dengan nasihat doktor.
  • Bekerja : Pesakit boleh kembali bekerja dalam masa 1 hingga 4 munggu selepas pembedahan, bergantung kepada jenis perkerjaan dan atas nasihat doktor.
  • Gejala / Tanda-tanda yang normal selepas pembedahan : Selepas pembedahan, pesakit mungkin akan mengalami beberapa gejala / tanda ringan, yang akan beransur-ansur hilang sehingga 6-8 minggu. Antara gejala / tanda tersebut seperti mata kelihatan merah, mata berair, rasa tidak selesa pada mata, rasa silau terhadap cahaya dan kelopak mata atas jatuh sedikit menutupi mata hitam hingga menyebabkan mata kelihatan kecil sedikit.
  • Gejala / Tanda amaran : Sekiranya sebarang gejala yang disebutkan dia atas semakin teruk, seperti : mata semakin sakit dan kabur, mata semakin bengkak dan merah, ataupun mata telah mengalami kecederaan; segeralah berjumpa dengan doktor.
Bagaimana Menitiskan Ubat Titik Mata
  • Cuci tangan
  • Dongakkan kepala ke atas, pesakit perlu membuka mata dan melihat ke arah siling
  • Tarik ke bawah kelopak mata bawah dengan lembut, perlahan-lahan sehingga kelihatan bahagian dalam kelopak mata bawah.
  • Picit botol ubat dan titiskan ubat ke dalam mata. Jangan biarkan muncung botol ubat menyentuh mata, kelopak mata atau bulu mata.
  • Lepaskan kelopak mata dan tutup mata perlahan-lahan selama 30saat. Lapkan titisan yang meleleh keluar dari dengan tisu / kapas yang bersih.
Peringatan Khas
  • Untuk memastikan botol ubat titis sentiasa bersih :
    • Jangan biarkan muncung botol menyentuh mata atau sebarang benda atau disentuh dengan jari
    • Jangan berkongsi ubat titis dengan orang lain
    • Sentiasa tutup botol ubat semula selepas menggunakanya
    • Jangan gunakan ubat titis yang telah dibuka lebih 4 minggu
  • Sekiranya pesakit perlu menggunakan lebih dari satu jenis ubat titis pada mata yang sama, pesakit perlu menjarakkan masa sekurang-kurangnya 5 minit sebelum menitiskan ubat seterusnya
  • Sekiranya pesakit perlu menggunakan ubat mata dalam bentuk titisan dan oinmen pada mata yang sama, gunakan ubat titis dahulu, tunggu 5 minit sebelum menggunakan oinmen mata
  • Berhenti menggunakan kanta lekap (contact lens) semasa dalam rawatan melainkan atas nasihat doktor
Rawatan Susulan
Kebiasaan rawatan susulan selepas pembedahan adalah mengikut saranan doktor. Kekerapan rawatan susulan bergantung kepada proses pemulihan setiap pesakit.

0 comments: