Punca Mata Gatal dan Cara Rawatan



Konjunktivitis Alergi

Anak anda kerap mengadu gatal mata dan seringkali dilihat mengosok mata dan hidungnya dengan kuat? Selalu mempunyai mata berair dan merah, bersin berulang-ulang kali serta mempunyai hidung yang berair? Ini mungkin merupakan tanda-tanda anak anda mungkin mengidap konjunktivitis alergi.

Konjunktivitis alergik merupakan masalah yang agak biasa masa kini. Ramai yang mengidapnya tidak kira usia dan jantina. Semakin ramai kanak-kanak mempunyai masalah ini.

Punca berlakunya konjunktivitis alergi ini adalah pelbagai. Antara faktor penyumbang adalah persekitaran (habuk, asap, pollen), makanan tertentu, sensitiviti pada ubat-ubatan  dan cuaca. Kesemua ini boleh menyebabkan kanak-kanak yang alah mengalami mata merah dan gatal.

Bahagian mata yang selalunya terlibat adalah kelopak mata dan konjuktiva. Konjunktiva adalah satu lapisan membran yang menyelaputi keseluruhan mata dan bahagian dalam kelopak mata. Inflamasi yang berlaku pada bahagian konjunktiva mata yang berpunca dari masalah alergi dikenali sebagai konjuntivitis alergi.

Alergi berlaku apabila sistem badan bereaksi menentang sesuatu bahan yang dikenali sebagai bendasing dan mencuba menyingkirkannya dari sistem badan. Oleh itu reaksi alergi adalah sangat penting dan berfungi sebagai salah satu sistem pertahanan badan. Bila alergi pada sesuatu bahan berlaku , badan akan mengeluarkan histamine (satu bahan kimia)  sebagai satu respon terhadap reaksi alergi. Histamin ini yang akan bertanggungjawab menyebabkan mata berair, gatal dan lain lain tanda alergi.

Simptom alergi sangat senang untuk dikenalpasti dan ianya boleh terjadi dari usia sekecil bayi hinggakan orang tua. Walaubagaimanapun kanak-kanak lebih senang mendapat alergi berbanding dengan orang dewasa.

Bahan yang menyebabkan alergi dipanggil sebagai alergen. Alergen paling mudah ditemui dipersekitaran kita. Kanak-kanak mudah mendapat reaksi alergi jika sentiasa terdedah pada persekitaran berhabuk dan berdebu ataupun tangan yang memegang benda kotor dan berbakteria boleh menjadi medium perantaraan seperti rumput, tanah, pasir, bunga-bungaan dan sebagainya. Penyakit sistemik seperti asthma boleh menyebabkan alergi yang agak nyata pada mata dan tandanya jelas apabila pemeriksaan lampu slit biomikroskopi dilakukan di bahagian bawah kelopak mata.

Tanda yang jelas bagi seseoang yang mengalami konjunktivitis alergi adalah kelopak matanya mengalami kemerahan pada bahagian palpebral konjuntiva atas dan bawah. Palpebral konjunktiva bagi seorang yang normal berwarna merah jambu pucat. Kelopak mata bawah dan atas juga boleh menjadi bergerutu atau disebut sebagai papila dimana ianya boleh digredkan mengikut darjah keterukannya. Gred 4 akan menunjukkan papila berada di tahap serius manakala Gred 1 adalah keadaan awal berlakunya papila. Sekiranya ianya dibiarkan dan tidak dirawat, ianya boleh menjadi bertambah teruk dan biasanya pesakit akan berasa tidak selesa yang amat sangat.

Adalah agak biasa bagi pengidap alergi konjuktivitis mengadu bahagian matalah yang paling gatal terutamanya diwaktu malam. Ketika ini mata akan terasa berair, merah dan hangat. Adakalanya ianya diikuti dengan discaj nanah, lendir yang mana boleh menyebabkan kekaburan penglihatan.

Konjunktivitis alergi boleh terjadi secara akut (tiba-tiba dan sementara) ataupun secara kronik (berpanjangan)

Alergik konjunktivitis akut biasanya terjadi mengikut musim. Ianya bersifat  tiba-tiba tetapi sementara. Tetapi ianya boleh menjadi teruk sekiranya tak dirawat. Biasanya ianya datang bersama alergik pada bahagian hidung.

Alergik konjukivitis kronik pula bersifat berpanjangan dan tidak bermusim. Ianya jarang berlaku tetapi darjah keterukkannya adalah lebih tinggi dari jenis akut. Ianya disebabkan oleh alergen yang berpunca dari pendedahan berterusan seperti habuk dan makanan. Bagi jenis ini, inflamasi jarang berlaku namun pesakit tetap berasa gatal dan panas dan juga sensitif pada cahaya.

Cara pengesanan

Optometrist (Pakar penjagaaan mata) atau oftalmologis (Pakar Mata) boleh memeriksa dan membuat diagnosis awal tentang masalah ini berdasarkan pemeriksaan fizikal dan riwayat perubatab keluarga. Juga dari simptom yang diadukan dan tanda yang dilihat pada pesakit. Kebiasaanya pesakit juga mengalami alergi pada bahagian lain badan seperti kulit.

Pesakit boleh dibawa berjumpa pakar alergi untuk mengesan substan yang menyebabkan punca alergik. Ianya boleh dilakukan  dengan menggunakan ujian kulit dan juga ujian darsh.

Cara Rawatan

Kaedah paling baik untuk mengurangkan atau mengurangkan dedahan terhadap alergen. Dengan menjauhi dadah tertentu, ubat-ubatan atau makanan, konjuktivitis alergi dapat dielakkan.

Untuk mata yang sangat gatal, ubatnya adalah dengan melakukan kompresi sejuk iaitu mengguna air sejuk atau ais untuk ditekup dibahagian mata yang gatal. Rasa sejuk dari ais tersebut boleh menjadikan salur darah mengecut kembali. Terdapat sesetengah ubatan atau ubat titis yang boleh melegakan  mata yang gatal buat sementara. Ada ubatan yang mengabungkan  antihistamin (anti-gatal) dan vasokonstriktor (ubat untuk menyempitkan semula salur darah). Adakalanya penggunaan setroid terpaksa diberikan sebagai ubat titis tambahan. Walaubagaimanapun penggunaan steroid berpanjangan boleh meningkatkan risiko katarak dan glaukoma pada sesetengah pesakit.

Penggunaan pembersih mata (seperti lidcare atau teknik lid brushing) mampu melegakan rasa gatal. Ianya selalu digabungkan dengan ubat-ubatan yang lain untuk meningkatkan keselesaan pesakit.

Bagi melegakan mata yang terasa hangat, titisan air mata gantian tanpa pengawet biasanya boleh digunakan untuk melembabkan kembali keadaan okular. Paling penting anda harus memantau anak anda supaya mereka tidak menggosok kelopak mata secara kasar akibat kegatalan. Ini adalah kerana mata yang terlalu banyak kali digosok boleh menyebabkan calar, edema dan luka. Sekiranya ianya berlarutan, anak anda mungkin mempunyai risiko mengidap penyakit keratokonus pada usia 16 tahun. Keratokonus merupakan satu keadaan di mana kornea mempunyai permukaan yang tidak rata dimana bahagian puncaknya mungkin menjadi makin menipis akibat sentiasa digosok. Ianya adalah kerosakan yang nyata pada kornea dan hanya kaedah rawatan kanta sentuh keras sahaja yang dapat menolong ataupun transplan kornea.

Teknik Lid Brushing

(Teknik ini boleh digunapakai untuk bayi, kanak-kanak dan dewasa. Teknik ini juga boleh dijadikan amalan bulanan)

Gunakan putik kapas yang berkualiti dan rendamkan kedalam bancuhan shampoo bayi yang tak memedihkan mata (1 bahagian shampoo ditambah dengan 3 bahagian air). Gosok bulu mata seolah-olah menyikat bulu mata. Tumpukan perhatian pada bahagian akar bulu mata (paling banyak habuk berkumpul). Gosok satu arah. Kemudian oleskan putik kapas itu pada garisan mata atas dan bawah (bahagian yang selalu dipakai celak mata). Ulang untuk beberapa minit. Gunakan putik kapas lain untuk mata yang satu lagi.

Dr Haliza Abdul Mutalib
Prof Madya dan Pakar Optometris
Program Optometri dan Sains Penglihatan
Fakulti Sains Kesihatan 
Universiti Kebangsaan Malaysia

7 comments:

  1. Doktor Saya mempunyai masalah Mata gatal seperti di atas.kadang2 Mata terasa gatal yang Amat sangat.Saya letakkan ubat titis yg Ada antibiotik tp xmenjadi.apa nasihat doktor?adakah mudah untuk merawat pykt ni

    zuarxpdc@Gmail.com

    ReplyDelete
  2. Doktor Saya mempunyai masalah Mata gatal seperti di atas.kadang2 Mata terasa gatal yang Amat sangat.Saya letakkan ubat titis yg Ada antibiotik tp xmenjadi.apa nasihat doktor?adakah mudah untuk merawat pykt ni

    zuarxpdc@Gmail.com

    ReplyDelete
  3. Doktor, saya mempunyai masalah mata gatal seperti yg doktor terangkan.. Tetapi, ianya tidak berpanjangan.. Ianya mengejut, dan hanya berlarutan paling lama adalah sehingga dua hari.. Dan ianya baik kembali, tapi ianya berlaku berulang kali.. Adakah masalah saya adalah seperti di atas, dan apakah yang seatutnya saya lakukan? Terima kasih..

    ReplyDelete
  4. doktor , saya mengalami gatal di mata , kadang-kadang.
    ia datang secara mengejut sehinggakan saya tak tahan akibat kegatalan..
    mata saya merah dan berair .. keesokkanya mata saya menjadi sembab dan bengkak.
    apa yang saya patut lakukan ? .
    terima kasih

    ReplyDelete
  5. Anak saya berusia 2 tahun..2 3 hari ini saya perasan dia asyik mengosok mata byk kali..apa tindakan yang perlu saya ambil..

    ReplyDelete
  6. Salam, Dr. Saya dh mengalami gatal pd bhgn dalam kelopak mata dan mata seperti yg Dr. terangkan selama 3 minggu.. Adakala pandangan saya kabur seperti ada selaput yang lindung penglihatan. Ia sgt mengganggu pekerjaan sy. Sy pernah pergi klinik kesihatan selepas seminggu mata gatal2, tp Dr. di situ seperti ambik ringan dan tak check mata sy betul2. Sekadar diberi ubat titis mata dan ubat selsema. Sy makan dan titik ubat, but the symptoms still persists. What shoul I do Dr.? 😭

    ReplyDelete
  7. dr. saya juga mengalami penderitaan yg sama seperti dinyatakan . saya juga merasakan saya ada alergi kerana tiap kali bertemu dgn habuk (seperti pindah rumah) saya selalu mengalami mata gatal dan menjadi merah dan kadangkala selsema yg berterusan . apakah saranan doctor ?

    ReplyDelete